Pendedahan media massa serta aduan awam
mengenai isu pencemaran seperti perparitan, sungai, laut dan air amat
membimbangkan kita. Kita sering digemparkan dengan penyakit-penyakit seperti
demam denggi, chikungunya, meliodosis, leptospirosis dan pelbagai jenis
penyakit lain. Peningkatan masalah ini merupakan petunjuk bahawa amalan
kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah
masyarakat.
Sejak
sekian lama segala keindahan dan kedamaian alam terutama sungai semakin pudar
serta dinodai mengikut hawa nafsu yang dicemari oleh tangan-tangan manusia. Disebabkan sifat segelintir golongan
masyarakat yang tidak bertanggungjawab, maka kita masih menghadapi pelbagai
masalah pencemaran sungai. Pencemaran bukan sahaja berpunca daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak
mesra alam, tetapi juga berpunca daripada aktiviti-aktiviti penduduk-penduduk kampung yang tinggal
di sepanjang sungai. Mereka menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah-sarap. Pencemaran ini bukan
sahaja mengakibatkan ketidakselesaan, tetapi juga boleh memudaratkan kesihatan,
khususnya kepada penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang sungai yang
tercemar.
Jika
dipandang daripada arus pemodenan dan kecanggihan teknologi, sepatutnya
individu yang berakal atau cerdik sekurang-kurangnya dapat memainkan peranan
menjaga alam sekitar. Sebaliknya masih terdapat ramai individu yang tidak
bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang dengan membuang
sampah di merata-rata tempat. Selagi
tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, maka selagi
itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Sikap seperti
inilah yang perlu dikikis agar ia tidak menjadi ikutan kepada generasi akan
datang. Peliharalah sungai ini dengan bertindak mulai sekarang sebelum terlambat.
Langkah
perubahan sikap serta anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak
dan masyarakat supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat.
Ingatlah sungai yang bersih dapat menjamin kehidupan yang selesa, sihat dan
bersih.
No comments:
Post a Comment